Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru terletak dalam Zon Pentadbiran Kempas iaitu di Kawasan Tampoi, 10 km dari pusat bandar Johor Bahru dan 3 km dari susur keluar Plaza Tol Kempas Lebuhraya Utara Selatan ( Selepas susur keluar Tol Skudai ). Taman Sinar Harapan Tampoi merupakan institusi pemulihan dan latihan bagi OKU Masalah Pembelajaran remaja lelaki yang diuruskan di bawah Kaedah-kaedah Pusat Pemulihan Cacat Akal 1977. Institusi ini mula beroperasi pada 28 Disember 1975 dan dirasmikan pada 20hb Mei 1976 oleh Datin Paduka Hjh. Aishah bte Abdul Ghani yang berperanan sebagai Menteri Kebajikan Am Malaysia pada masa tersebut.
Dengan keluasan kawasan seluas 8.4 ekar, asrama penghuni di sini mampu menampung seramai 200 orang dalam satu-satu masa. Taman Sinar Harapan Tampoi diwartakan sebagai tempat selamat PU(B)30 Dibawah Akta Kanak-kanak 2001 – kes kanak-kanak/remaja lelaki OKU terencat akal dan Tempat selamat/Pusat perlindungan Wanita bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Rujuk : JKMM500/05/3 jld3)
Selain daripada menitikberatkan aspek penjagaan, perlindungan dan pemulihan . Institusi ini juga menekankan penyediaan kemudahan yang selesa, bersih dan ceria di seluruh kawasan institusi ini seperti pejabat pentadbiran, klinik, bilik air dan tandas, asrama, dewan makan, dapur, surau, rumah pelawat, tempat rekreasi / riadah dan sebagainya.
Pengurusan klien juga menitikberatkan dengan memberi layanan mesra dan jagaan yang sempurna
Di samping itu, institusi ini juga menyediakan pelbagai aktiviti dan program untuk meningkatkan tahap pencapaian penghuni sama ada aktiviti dalam ataupun luar institusi.